

Marilah kita menunaikan Ramadhan kali ini dengan penuh keazaman untuk menjaga sunnah-sunnah dan adab-adabnya, semoga Ramadhan kali ini dapat melipat gandakan amalan kita daripada bulan-bulan Ramadhan yang telah kita lalui sebelum ini. Sama-samalah kita memohon dari Allah SWT agar diterima setiap amalan yang kita lakukan ini. Amin Ya Rabbal A'lamin.
BILAKAH MANUSIA DAPAT MEMENUHI SYARAT-SYARAT TERSEBUT ?
1. Manusia tidak dapat meletakkan satu lakaran yang tepat bagi permukaan bumi melainkan pada kurun ke 20 Masihi setelah mereka dapat menciptakan kapal terbang dan roket yang mampu terbang jauh ke angkasa lepas yang dapat membawa satelit serta kamera yang dapat merakam dengan teliti dan lain-lain lagi peralatan.
2. Dan manusia juga tidak mampu meletakkan garisan lintang serta garisan bujur secara teliti melainkan pada kurun ke 20 setelah mereka dapat melakarkan peta dunia yang lengkap yang merangkumi seluruh permukaan bumi, laut, pulau serta benua.
3. Manusia juga tidak dapat mengetahui kadar rendah serta ketinggian permukaan bumi melainkan pada kurun ke 20 setelah mereka memiliki segala peralatan yang lengkap untuk menentukan ketinggian setiap bukit dan rendah setiap lembah di atas permukaan bumi.
ADAKAH SYARAT-SYARAT TERSEBUT DIPEROLEHI PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W ?
Jawapannya tidak...........semua orang yang berakal mengetahui lebih-lebih lagi para pengkaji serta penyelidik. Perhatikanlah kepada peta yang pertama yang dilakarkan oleh Al-Idrisi pada tahun ( 1154M ) selepas lebih kurang 5 kurun setengah daripada hijrah Nabi s.a.w. Beliau telah melakarkan negeri Yaman terletak di sebelah tenggara semenanjung manakala Oman di sebelah timur laut semenanjung:-
Juga perhatikan peta yang dilakarkan oleh Giovanni Leardo tiga kurun selepas lakaran Al-Idrisi. Kemudian perhatikan pula peta semenanjung Arab yang dirakamkan melalui satelit, nescaya kita akan dapati perbezaan di antara kedudukan Makkah dan Yaman, lebih-lebih lagilah perbezaan di antara kedudukan Sana’a dan Makkah:-
Ketahuilah bahawa Al-Idrisi dan Giovanni Leardo adalah orang yang paling hebat melakarkan peta dunia !!! beberapa kurun selepas zaman Nabi s.a.w.
Jawapannya juga tidak... kerana manusia tidak mampu untuk menentukan tempat bagi setiap kawasan di atas muka bumi ini dengan secara teliti untuk membolehkan mereka melakarkan satu garisan yang lurus di antara dua buah bandar yang saling berjauhan melainkan setelah terciptanya kapal terbang, alat rakaman yang canggih, meletakkan garisan lintang dan garisan bujur, penemuan alat-alat yang dapat menentukan arah ketinggian kawasan daripada permukaan laut, terciptanya roket yang dapat menembusi angkasa lepas serta dapat membawa satelit ke luar lapisan ozon.
Dan semua syarat-syarat ini tidak diperoleh oleh manusia melainkan selepas 14 kurun daripada kebangkitan Nabi s.a.w.
PERHATIAN
Satelit pertama yang dilancarkan di dalam sejarah kemanusiaan ialah Sputnik yang dilancarkan oleh Russia pada tahun 1957 M.
Dan pada tahun 1958 M Amerika Syarikat melancarkan satelit pertama mereka yang dinamakan sebagai ‘PEMBONGKAR’.
RASULULLAH S.A.W MENENTUKAN TAPAK DAN KIBLAT MASJID SANA’A.
Sebelum 14 kurun lalu Nabi s.a.w telah menentukan tapak Masjid Sana’a. Lalu Baginda s.a.w telah menentukan kedudukan Masjid, juga menentukan sudut yang betul ke arah Makkah sebagaimana Baginda menentukan arah kiblat yang tepat kepada binaan Kaabah.
MASJID SANA’A DAN ARAHAN MEMBINANYA OLEH NABI S.A.W.
Pertama: Apa yang disebut di dalam kitab-kitab hadis.
At-Tabarani telah meriwayatkan di dalam Al-Mu’jam Al-Ausat[8]. Beliau berkata: berkata Wabr bin Yuhannas Al-Khuza’i r.a: “Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadaku”: “ Apabila engkau membina Masjid Sana’a, maka jadikanlah binaannya di sebelah kanan bukit yang dipanggil Dhin”.
Al-Haisami telah berkata[9]: At-Tabarani telah meriwayatkan di dalam kitabnya Al-Ausat dan sanad hadisnya adalah hasan ( baik ). Ibnu Sakan dan Ibnu Mundah juga telah meriwayatkannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz di dalam kitabnya Al-Ishobah[10].
Maka sabda Rasulullah s.a.w: “Jadikanlah binaannya di sebelah kanan bukit yang dipanggil Dhin”. Iaitu Baginda telah menentukan sudut masjid dengan tepat ke arah Kaabah.
Kedua: Apa yang disebut di dalam kitab-kitab sejarah.
Al-Hafiz Ar-Razi[11] dalam kitabnya Tarikh Sana’a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengarahkan Wabr bin Yuhannas Al-Ansari tatkala mengutus beliau ke Sana’a sebagai gabenor, lalu Baginda bersabda: “Serulah mereka kepada iman, sekiranya mereka patuh serta taat kepada engkau maka sebutkan kepada mereka tentang syariat solat, sekiranya mereka patuh serta taat kepada engkau maka suruhlah mereka membina masjid di taman kepunyaan Bazan daripada batu besar yang asal dari Ghamdan dan jadikanlah kiblatnya ke arah bukit yang dipanggil Dhin”.
Dan apabila Wabr memberitahu kepada mereka tentang ciri-ciri binaan masjid yang diarahkan oleh nabi s.a.w. lalu Aban bin Sa’id datang serta membina masjid tersebut mengikut ciri-ciri yang diarahkan oleh Baginda s.a.w di dalam taman kepunyaan Bazan yang asal batu besar dan beliau menghadapkan arah kiblatnya ke bukit Dhin.
Ar-Razi berkata: “Rasulullah s.a.w telah menulis surat kepada Wabr supaya beliau membina masjid daripada pagar kepunyaan Bazan dan menjadikannya bermula daripada batu besar sehingga ke temboknya serta menghadapkan kiblatnya ke arah bukit Dhin”.
Dan sabda Rasulullah s.a.w: (“Maka suruhlah mereka membina masjid di taman kepunyaan Bazan daripada batu yang asalnya dari Ghamdan dan jadikanlah kiblatnya ke arah bukit yang dipanggil Dhin”). Dan apa yang telah disebutkan di dalam surat Nabi kepada Wabr (“Membina masjid daripada pagar kepunyaan Bazan dan menjadikannya bermula daripada batu besar sehingga ke temboknya”). Adalah penentuan yang terperinci tentang kedudukan dan tempat masjid tersebut.
Dan sabda Rasulullah s.a.w: (“dan jadikanlah kiblatnya ke arah bukit yang dipanggil Dhin”). Dan juga sabdanya: (“serta menghadapkan kiblatnya ke arah bukit Dhin”). Adalah penentuan yang tepat tentang arah kiblat masjid tersebut.
MASJID SANA’A DAN KEDUDUKANNYA PADA HARI INI
Pertama: Masyarakat di Yaman yang terdahulu dan generasi kini telah memelihara tapak masjid yang diperintahkan Rasul supaya membinanya iaitu mereka memelihara tanda dan ciri-ciri yang telah ditentukan oleh Rasul s.a.w seperti Batu Mulamlamah salah satu daripada dua batu penanda masjid sebagaimana telah disebut sebentar tadi. Dan kedudukannya pada hari ini di antara dua tiang masjid yang dinamakan salah satunya Al-Masmurah dan yang satu lagi Al-Manqurah. Sebahagian masyarakat di Yaman melampau dalam mengagungkan Masjid Sana’a sehinggakan mereka tidak menerima sumpah daripada pihak lawan dalam pergaduhan yang dahsyat melainkan pihak lawan tersebut bersumpah di depan Al-Masmurah dan Al-Manqurah iaitu di masjid yang diarahkan binaannya oleh Rasul s.a.w.
Kedua: setiap kali berlakunya pembinaan untuk meluaskan masjid, maka kerja-kerja binaan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap binaan asal masjid yang ditentukan oleh Rasul tersebut. Akan tetapi pembinaan untuk meluaskan masjid berlaku di sebelah kanan, kiri dan di hadapannya dan masjid asal telah dipisahkan di antara binaan baru tersebut oleh halaman yang luas di tengah-tengah masjid dan hal ini telah dinyatakan oleh Ar-Razi di dalam kitabnya Tarikh Sana’a.
Ketiga: ini adalah sebahagian gambar-gambar Masjid Sana’a:-
PROGRAM GOOGLE EARTH
Program google earth di dalam Internet telah memberikan maklumat kepada pengunjung mereka tentang sebahagian besar kedudukan tempat-tempat di permukaan bumi – negara-negara, bandar-bandar serta kampung-kampung – dengan disertakan dapat menentukan sesuatu tempat tersebut serta dapat melihat dengan secara dekat dan jelas melalui program 3d yang dirakam melalui satelit dan kapal-kapal terbang dan ia adalah gambar realiti sebagaimana yang dipaparkan di dalam Internet[12]
PENYESUAIAN HADIS RASULULLAH S.A.W DENGAN PROGRAM GOOGLE EARTH.
Pertama: kita telah nyatakan sebelum ini tentang program google earth, dengan program ini kita mampu melihat bahagian-bahagian yang luas di atas muka bumi dengan menentukan serta menghampirkan pemandangan setiap bahagian tersebut. Rasul s.a.w telah menentukan di dalam hadisnya dua tempat iaitu Masjid Sana’a dan Bukit Dhin. Dan kedua-dua tempat ini telah dapat dilihat melalui google earth yang dirakam melalui satelit. Berikut adalah gambar kedua-dua tempat tersebut:-
Kedua: sekiranya kita letakkan satu garisan yang lurus di tengah-tengah masjid iaitu tanda yang ditentukan oleh Rasul untuk membinanya sebagaimana di dalam gambar berikut:-
Kemudian kita teruskan garisan lurus itu menuju ke puncak bukit Dhin sebagaimana di dalam gambar di bawah ini:-
Seterusnya kita panjangkan garisan lurus itu yang bermula daripada arah kiblat Masjid Sana’a yang ditentukan Rasul dari Al-Masmurah dan Al-Manqurah sekarang terus menuju ke puncak bukit Dhin, maka pasti kita akan dapati ianya secara lurus akan menuju ke Makkah seterusnya ke tengah-tengah dinding Kaabah di antara rukun Yaman dan Hajar Aswad. Lihat gambar berikut:-
Dan ketika kita menjauhkan sedikit jarak pemandangan 3d ini kita akan dapati garisan tersebut seperti di bawah:-
Maka natijah daripada penyesuaian ini akan terhasil seperti berikut iaitu garisan yang lurus daripada kiblat masjid yang disifatkan oleh Rasul menuju ke puncak bukit Dhin seterusnya sampai ke tengah perut Kaabah Yang Mulia:-BENTUK-BENTUK E’JAZ DARIPADA HADIS NABI S.A.W
Manusia tidak mampu untuk melakarkan garisan yang lurus di atas permukaan bumi yang bulat ini di antara dua bandar yang berjauhan melainkan seseorang itu memiliki peta-peta yang terperinci yang dirakam melalui kapal-kapal terbang, satelit dan alat-alat rakaman yang canggih serta berpengetahuan tentang garisan lintang serta garisan bujur permukaan bumi, juga mengetahui darjah ketinggian kawasan daripada paras laut. Semua kemudahan ini tidak didapati oleh manusia melainkan selepas 14 kurun daripada zaman Rasul s.a.w, akan tetapi Rasul sebelum 1400 tahun dahulu telah menentukan garisan yang lurus di antara Masjid Sana’a, bukit Dhin dan Kaabah, tatkala beliau menyifatkan pembinaan masjid di Sana’a.
Dan Baginda s.a.w telah menentukan tapak serta tempat masjid tersebut dengan sabda Baginda: (“Maka suruhlah mereka membina masjid di taman kepunyaan Bazan daripada batu besar yang berasal dari Ghamdan dan jadikanlah kiblatnya ke arah bukit yang dipanggil Dhin”). Dan apa yang telah disebutkan di dalam surat Nabi kepada Wabr (“Membina masjid daripada pagar kepunyaan Bazan dan menjadikannya bermula daripada batu besar sehingga ke temboknya”).
Baginda juga menentukan jarak sudut Masjid Sana’a dari bukit Dhin dan Kaabah dengan sabda Baginda s.a.w: (“Maka jadikanlah binaannya di sebelah kanan bukit yang dipanggil Dhin”).
Baginda menentukan arah yang tepat menuju ke Kaabah dengan menggunakan bukit Dhin sebagai tanda kepada masyarakat di kota Sana’a Lama.
Kemudian datang selepas pada itu ciptaan kapal terbang, roket dan satelit merakamkan gambar bumi daripada kota-kota, bukit-bukau serta lautannya dan mempersembahkan kepada kita gambar realiti kepada ketiga-tiga tempat yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w iaitu Masjid Sana’a, bukit Dhin dan Kaabah maka kita dapati ketiga-tiga tempat tersebut terletak di atas satu garisan lurus dalam keadaan ianya tempat yang berjauhan, permukaan bumi yang bulat serta tiadanya syarat-syarat yang diperlukan serta peralatan kajian ilmiah di zaman Nabi s.a.w.
Dan semua itu berlaku dengan kenyataan yang mudah, tanda yang jelas dan terang serta kerja yang teliti dan tepat.
Dalam masa yang sama Baginda s.a.w tidak pernah pun datang ke Yaman, tidak pernah melihat bukit Dhin, tidak pernah melihat taman kepunyaan Bazan, tidak juga melihat batu Mulamlamah. Dan manusia di zamannya tidak pun mengetahui jarak yang memisahkan di antara Makkah dan Sana’a.
Semua perkara di atas telah menyaksikan betapa sabda Baginda s.a.w itu bukanlah suatu kemampuan manusia di zamannya hatta beberapa kurun yang lama selepas zamannya. Sesungguhnya ia adalah wahyu serta ilmu ilahi !!! dan benarlah firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”. [13]
__________________________
[1] . Surah Al-Baqarah: 144.
[2] . Daripada Ali bin Abi Talib r.a “maka palinglah mukamu ke Masjid Al-Haram” dia berkata: “iaitu ke arahnya”. Dan ini juga kata-kata Abi ‘Aliah, Mujahid, ‘Ikrimah, Said bin Jabir, Qatadah, Ar-Rabie’ bin Anas dan selain mereka…...(tafsir Ibnu Kasir).
[3] . Sahih Bukhari. Jilid: 1, muka surat: 155.
[4] . Fathul qadir. Jilid: 1, muka surat: 153.
[5] . Diriwayatkan oleh Baihaqy di dalam kitab Syu’abil Iman: 6/187, bil: ( 7860 ).
[6] . Setelah nyata terhadap mereka mukjizat tentang kebenaran Nabi s.a.w tatkala Baginda memberitakan kepada mereka tentang berita terbunuhnya Kisra ( raja Parsi ) tepat pada malam kematiannya dan sampailah berita tersebut selepas itu membenarkan sabda Baginda tersebut s.a.w.
[7] . Sila rujuk kitab ( sejarah Sana’a ) yang dikarang oleh Al-Hafiz Ar-Razi.
[8] . Al-Mu’jam Al-Ausat. Jilid: 1/253. bil: (831).
[9] . Mu’jam Az-Zawa’id. Jilid: 2. muka surat: 599.
[10]. Al-Ishobah. Jilid: 6. muka surat: 599.
[11] . Beliau adalah: Al-Hafiz, Al-Muhaddis Ahmad bin Abdullah bin Muhammad Ar-Razi. Beliau telah mengarang beberapa buah kitab di antaranya ialah Tarikh Sana’a ( Sejarah Sana’a ) beliau meninggal dunia pada tahun: 460 H.
[12] . Untuk mendapat maklumat lebih lanjut sila layari laman web berikut: (/http: //earth.google.com).
[13] . Surah An-Najm: 3 & 4.
__________________________
Majalah E’jaz Ilmi. Bil: 26. Muharram 1428H
Oleh: Syeikh Abdul Majid Aziz Az-Zindany
Diterjemahkan oleh: Abu Hasyim Al-Yahya
Firman ALLAH SWT: Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. [Al An'aam: 162]
Firman ALLAH SWT: Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, [Al- Faatihah: 6-7]
Firman ALLAH SWT: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). [An-Nisaa': 69]